Entry: Hanya Kau di hatiku Sunday, October 02, 2005




Bibirku mengukir senyuman yang lebar. Lega rasanya setelah semua sudah kembali seperti biasa. Barulah aku mengerti pada apa yang terjadi. Ternyata, aku terlalu ikutkan perasaan.

"Itu pun ayang nak marah. Konon cantiklah muka bila masam macam tu? Tapi masam macam mana pun tetap ada manisnya," Afiq bergurau sambil memicit hidungku. Aku hanya tersengih. Geram pula bila dia menyakat aku. Aku menyandarkan kepalaku di bahunya.

"Manalah Lia tahu yang perempuan tu Rita. Lia tak pernah pun jumpa dia, cuma setakat dengar abang cerita pasal dia tu ada lah," aku mengomel manja. Tunangku mengusap kepalaku lalu tertawa.

"Lain kali tanya dulu, ini tidak. Terus aje dia lari. Abang pun tak sempat nak terangkan," tunangku menggeleng. "Rita tu dulu tinggal bersama abang sekeluarga. Maka itu, abang dah anggap dia macam adik sendiri," dia menerangkan kedudukan sebenar antara dia dan Rita, sepupunya.

"Lagipun Rita tu kan masih muda lagi. Dia belum habis universiti pun, masih menuntut. Hah...ni dia baru pulang dari Melaka. Sebenarnya, Rita ada masalah dengan Mak Busu. Sebab tu dia lari ke Singapura. Cari siapa lagi kalau bukan Abang Afiq yang handsome ni," tunangku berseloroh. Aku cubit pipinya dengan manja. Aku merenung wajah Afiq. Maafkan Lia, bang. Lia tak sepatutnya marah abang macam tu sekali. Lia tahu, abang tak akan tipu Lia. Air mataku mula menitis kerana malu dan rasa serba salah. Afiq mengesat air mataku. Dia mencapai tanganku lalu menggenggamnya. Kami beredar dari tempat rehat itu, berjalan menuju ke perhentian bas.

"Jangan nangis lagi lah, okey? Abang dah tak marah Lia lah. Kalau marah pun, cuma lima minit aje tadi. Masa Lia suruh abang lepaskan Lia. Tapi lepas abang dah jalan jauh dari Lia, rasa kasihan, rasa sayang, rasa rindu terus menusuk kalbu. Tak boleh angkat!" gelaknya, cuba membuat aku tersenyum. Ada-ada saja tunang aku ni.

"Lagi satu, abang janji abang tak akan letakkan tangan abang dekat siapa-siapa, biarpun dia adik abang ke siapa ke. Cuma mak abang aje abang mesti peluk dan cium, ok boleh?"

Afiq meletakkan tangannya di dahi, ala salute. Aku tergelak melihat telatah tunangku yang tidak putus-putus membuatku ceria kembali.

~~~~~~


Keesokan harinya, sedang aku menyiapkan sarapan di dapur, ibu berhenti menyapu lalu bertanya. "Lia dengan Afiq dah tetapkan hari? Ibu dengan ayah dah lama jugak tunggu Lia beritahu kami."

Mataku terjegil. Alamak! Macam mana aku boleh lupa nak plan dengan Afiq ni? Aku berhenti membuat kopi. Aku menoleh ke arah ibu yang sedang menanti jawapan. "Oh, err...kita memang dah pilih tarikh bila bu, cuma nak memastikan aje," aku berbohong. Kalau aku bilang ibu yang aku terlupa, pendek kata awan gelap akan selubungi rumah ni.

Wajah ibu tampak tenang. Dia termenung, melihat sampah yang terkumpul di penyapu. Perlahan-lahan ibu mengangguk. Ramalan cuaca menandakan cerah. "Kalau gitu, baguslah. Tapi cepat-cepat sikit. Makcik pakcik semua dah bertanya, bila Lia nak langsung. Ibu diam aje, yang nak kawin Lia bukan ibu. Pandai-pandailah Lia uruskan."

Aku tersenyum mendengarnya. Tanganku kembali membuat kopi dan mencapai piring berisi kuih-muih lalu meletakkannya di atas meja makan. "Nanti Lia telefon Afiq, ya bu?"

Ibu mengangguk lagi sambil menyapu. Aku bergegas memasukki bilik dan mencapai gagang telefon. Jari-jemari dengan laju memicit nombor tunangku yang sudah lama dihafal. Setiap deringan berakhir dengan nada peti suara. Aku cuba lagi. Tak berhasil juga. Mungkin abang belum bangun tido. Hmmphh dah pukul berapa dah ni...

Panggilanku yang kelima masih tidak ada jawapan. Hatiku mula risau.

bersambung...




   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments